Pages

tulisan arab

Thursday, 26 March 2015

Biar si kecil menjadi gurunya



بسم الله الرحمن الرحيم


Jangan dipandang sebelah mata, anak kecil yang tak tahu apa-apa. Sedangkan kita pun pernah menjadi sepertinya, tiada manusia yang lahir-lahir, terus menjadi dewasa. Aku lihat anak kecil itu, perlahan-lahan bangun dari berbaring lalu berguling, kemudian meniarap seterusnya merangkak. Kemudian dia mula bangun meniti di tepi dinding. Bertatih-tatih tanpa mempedulikan sekeliling.
Satu langkah, dua langkah.
Jatuh.
Bangun semula, kembali mencuba
Satu langkah, dua langkah, tiga langkah.
Jatuh lagi.
Hampir menangis, bangun semula.
Si ibu melihat dari jauh, risau tetapi dibiarkan dahulu. Mahu anak itu menjadi seorang yang berani mencuba.
Satu langkah, dua langkah, tiga langkah, empat langkah dan semakin bertambah.
Perlahan-lahan menapak. Mula-mula jatuh berkali-kali, lama kelamaan sudah mampu berlari.
Aku lihat anak kecil itu. Terfikir, memandang diri. Kita semua pernah menjadi anak kecil itu, kita semua pernah jatuh dan bangun semula, kita semua pernah sakit dan luka sini sana kerana mencuba. Itu semua peristiwa semasa kita masih bergelar anak kecil. Tapi kini kita telah dewasa, mana hilangnya kekuatan dan keberanian yang pernah kita miliki suatu ketika dahulu?
Dalam hidup ini, anak-anak kecil adalah guru.
Guru yang mengajar erti kesabaran dengan kerenah dan pelbagai ragam dan tangisan yang dipersembahkan.
Guru yang mengajar erti kelembutan hati, kasih sayang dan belas kasihan.
Guru yang mengajar erti keikhlasan melalui senyuman-senyuman yang penuh kejujuran.
Guru yang mengajar erti kepekaan dan kehalusan jiwa tatkala mereka mempamerkan perasaan.
Guru yang mengajar erti kemaafan kerana anak kecil tidak berdendam, tiada buruk sangkaan.
Anak-anak kecil ini tidak mengenal erti putus asa, tiada istilah berhenti mencuba.
Alangkah indahnya jika kita dapat menjadi seperti anak kecil itu, walau dijeling, walau dicebik, dia tetap tersenyum dan ketawa. Jika hari ini dia menangis kerana diherdik, esok dia akan lupa. Sekalipun terjatuh berkali-kali dia tetap bangun kembali. Walaupun dimarahi, dia tak putus asa untuk belajar sesuatu yang baru dia fahami. Di suatu sudut, mungkin kita perlukan kembali jiwa sekental itu untuk mengharungi liku-liku kehidupan ini.
Allah menjadikan anak-anak kecil ini sebagai tanda supaya kita bermuhasabah merenung diri dan mendapat motivasi. Maka gunakanlah akal dan pancaindera kita,  perhatikanlah mereka dengan mata hati dan jiwa, belajarlah dari anak kecil, bergaul lah dengan mereka. Fahami tutur bicara mereka. Mereka mungkin kecil tetapi hikmahnya besar sekali bagi mereka yang berfikir. Biarlah si kecil itu menjadi guru, kerana kita yang dewasa ini pun bukannya kuat selalu.


No comments:

Post a Comment